Sumber: http://www.hamidarshat.com/

Wanita yang gemuk, pusingan haidnya tidak teratur dan tumbuh rambut pada kaki, badan atau muka berwaspadalah mungkin anda mengalami masalah kilang ovary bengkak atau ‘polycystic ovary’.

Polycystic Ovary Syndrom atau PCOs adalah suatu keadaan di mana kilang telur atau ovari pada seseorang wanita menjadi bengkak oleh sebab benih-benih telah terperangkap dalam ovari dan tidak boleh menetas pada waktu subur. Maka apabila berlaku keadaan seperti ini lama-kelamaan ovari akan membengkak dan menimbulkan berbagai jenis masalah kesuburan dan gangguan haid pada wanita tersebut. 

Gejala utama akibat PCOS ialah kemandulan, sukar untuk hamil dan bila hamil, mudah gugur. Ramai juga dikalangan pengidap PCOS yang mengalami masalah tidak datang haid untuk jangka waktu yang panjang, perdarahan haid yang banyak atau berpanjagan, masalah kegemokan/obesity dan ada yang bermasalah tumbuh rambut pada kaki dada dan muka.

Kejadian penyakit ini kian meningkat di kalangan wanita-wanita Malaysia ke taraf yang membimbangkan kerana ia menjejaskan kesuburan dan keupayaan mereka untuk hamil dan melahirkan anak.

Apakah tanda-tanda penyakit Polycystic Ovary?

TIDAK SUBUR ATAU MANDUL.

Kebanyakan dari pesakit-pesakit PCO datang berjumpa doktor pakar sakit puan sebab sukar hendak hamil walaupun telah lama mencuba. Ada yang telah beberapa tahun berkahwin tetapi masih belum medapat zuriat. Ada yang berjaya mendapat anak pertama dan gagal untuk hamil lagi selepas itu. Ramai juga yang bolih hamil tetapi mudah gugur diperingkat awal kehamilan; malah ada yang berulang2 kali gugur.

I.Berbagai Jenis Gangguan Haid 

Tanda yang biasa ialah haid yang tidak teratur, biasanya lambat datang haid dan kadang- kadang jarak antara haid menjadi begitu jauh sekali sampai hingga 3 atau 6 bulan barulah datang haid yang berikutnya. Ada setengah wanita pula sampai setahun tidak datang haid. 

II.Gemuk

Tanda lain ialah peningkatan berat badan menyebabkan wanita itu gemuk atau obese. Seringkali peningkatan berat badan ini berlaku secara mendadak selepas ia berkahwin dan pada ketika itu pusingan haid pun menjadi lebih tidak teratur dan kesuburan mereka sangat kurang ataupun langsung tidak subur kerana telur tidak dapat menetas. 

III.Darah haid sikit atau/dan berpanjangan

Wanita pula mengalami selain daripada pusingan haid yang begitu panjang jangka waktunya, ialah perdarahan haid yang mungkin berlaku dengan sedikit sekali, tidak seperti biasa haid akan keluar dengan sederhana selama seminggu. Tetapi wanita yang mengidap penyakit polycystic ovary akan mengalami haid yang sangat sedikit hanya menitis selama 2 atau 3 hari. Ada juga di kalangan mereka yang mengalami pendarahan yang berpanjangan sampai 15 hari ataupun 30 hari tanpa henti. 

IV.Tumbuh rambut.

Setengah wanita pula tanda-tanda lain ialah tumbuh rambut pada kaki, tumbuh misai dan janggut dan juga tumbuh rambut pada bahagian tangan dan ada kalanya di bahagian dada. Ini menandakan peningkatan dalam hormon lelaki dalam darah wanita tersebut. Iaitu satu keadaan yang sering berlaku dikalangan pengidap penyakit polycystic ovary.

Kegagalan seseorang wanita untuk mengeluarkan telur atau ovulation boleh dikesan dengan beberapa cara.


Berikut pula tentang masalah ketidaksuburan yang berlaku di kalangan wanita pula dan kaedah rawatan yang boleh dilakukan.

BIASANYA kita boleh membahagikan punca masalah kemandulan atau ketidaksuburan bahagian wanita kepada beberapa jenis. Pertama mungkin ia berpunca dari masalah kegagalan untuk telur menetas ataupun kegagalan 'ovulation'. Maknanya telur wanita tidak dapat dikeluarkan daripada kilang ovari pada waktu tertentu. Wanita yang tidak dapat mengeluarkan telur atau gagal untuk ovulasi mungkin disebabkan oleh beberapa faktor. 

Antaranya masalah kegemukan yang dikaitkan dengan gangguan hormon wanita. Wanita ini biasanya akan mempunyai ovari yang bengkak disebabkan telur-telur ini terperangkap dalam kilang ovari. Keadaan ini digelar dengan nama 'polycystic ovary'. Kadangkala wanita ini mempunyai tumbuhan rambut yang berlebihan pada bahagian kaki serta badan dan ada juga yang tumbuh misai.

Kegagalan penetasan telur mungkin disebabkan gangguan hormon yang mungkin disebabkan kandungan hormon susu ataupun prolactin yang tinggi. Keadaan ini digelarkan dengan 'hyperprolactinemia'. Ini biasanya disertai dengan tanda-tanda seperti haidnya tidak teratur, atau tidak datang langsung, ataupun kalau datang dua tiga bulan sekali. Kadangkala juga ia disertai dengan keluaran susu atau cecair daripada puting buah dada. Wanita-wanita ini didapati sukar untuk hamil. Keadaan seperti ini boleh disebabkan oleh satu tumbuhan pada kilang pituitari yang terletak pada bahagian otak.

Kadangkala juga kandungan prolaktin ini boleh meningkat dalam penyakit endometriasis yang sering melanda wanita dan tandanya ialah senggugut yang sangat teruk.

Kegagalan seseorang wanita untuk mengeluarkan telur atau ovulation boleh dikesan dengan beberapa cara. Di antaranya ialah jika haidnya tidak teratur ataupun lambat datang, misalnya pusingan haidnya berlaku dalam 2 atau 3 bulan sekali, kadangkala tidak datang sehingga 6 bulan. Ini adalah satu tanda yang mungkin wanita itu tidak mengeluarkan telur.

Kedua ia juga boleh dikesan dengan mencatitkan suhu badan setiap pagi dengan menggunakan alat suhu ovulation termometer yang boleh dibeli di farmasi. Paling penting sekali suhu badan ini patut disukat atau diambil sewaktu pagi sejurus ia bangun tidur sebelum ia memulakan aktiviti-aktiviti lain. Jika dicatitkan setiap hari, maka satu bentuk akan timbul, sebelum telur menetas berlaku, suhu badannya akan menurun sedikit dan sebelum telur keluar suhu badannya akan meningkat. lni lebih daripada paras biasa selama lebih kurang dua minggu. Jika tiada kehamilan, suhu badan akan turun dan akan diikuti dengan haid, tetapi jika ia hamil suhu badannya akan terus meningkat dan bila haidnya telah lambat dua minggu, ujian air kencing untuk mengesan kehamilan akan menjadi positif. Ketika itu juga kehamilan akan disahkan dengan melakukan ujian ultrasound scanning.

Lain-lain kaedah untuk mengesan ovulation ini juga boleh dilakukan dengan memeriksa air kencing setiap pagi, iaitu air kencing pertama pagi hari mulai pada hari ke sepuluh dikira pada hari pertama keluar haid. Biasanya haid turun seminggu bagi wanita biasa dan tiga hari kemudian iaitu hari ke sepuluh mulalah ia catitkan air kencingnya dengan ujian khusus untuk mengesan kesuburan. Banyak jenama ujian kesuburan melalui ujian air kencing ini didapati di pasaran dan mudah didapati di mana-mana kedai farmasi.

Biasanya kalau hari pertama masih negatif, ia perlu diulang setiap hari kerana kotak ujian ini mengandungi lima kayu ujian. Jadi boleh dilakukan selama lima hari, iaitu hari ke 10, 11,12, 13 dan 14. Biasanya bila ujian air kencingnya, positif penetasan telur atau ovulation akan berlaku 24 jam kemudian atau 48 jam kemudian iaitu esok atau lusanya. Ini penting bagi wanita -wanita yang ingin hamil, untuk melakukan hubungan pada minggu itu, iaitu antara 3 hingga 5 hari selepas ujian kesuburan positif. Bagi doktor pakar pula, untuk menentukan waktu sesuai bagi membuat rawatan secara 'artificial insemination' iaitu dengan menyuntik benih suami yang telah dibersihkan diproses, ke dalam rahim melalui faraj iaitu proses yang digelar 'intra uterine insemination' (IUI).

Satu lagi kaedah untuk mengesan ovulation atau penetasan telur ialah dengan membuat ujian 'vaginal ultrasound scanning, mulai hari ke 11 atau 12 dikira daripada mulanya keluar haid. Ujian ultrasound dilakukan untuk mengesan beberapa telur dan untuk mengukur besarnya telur tersebut. Biasanya bila ia telah mencapai ukuran 20 atau 22 mm diameter, telur akan menetas keesokan harinya atau lusa.

Ini juga penting bagi tujuan menasihati suami tentang waktu subur isteri dan juga prosedur rawatan dengan kaedah suntikan benih (IUI) ataupun melakukan bayi tabung uji. Proses tuaian telur -telur dari kilang ovari boleh dilakukan sama ada bawah melalui vaginal ultrasound ataupun melalui pembedahan teropong laparoscopy. Bergantung dengan prosedur yang akan dilakukan, bagi melakukan bayi tabung uji secara GIFT, penuaian telur secara laparoscopy adalah yang sesuai kerana telur dan benih suami yang telah dicantumkan di makmal perlu dimasukkan ke dalam saluran falopian pada ketika itu juga.

Bagi bayi tabung uji secara IVF biasanya penuaian telur atau pengambilan telur daripada kilang ovari dilakukan melalui vaginal ultrasound scanning. Walaupun demikian kedua-dua tatacara ini memerlukan pesakit dibius supaya ia membolehkan penuaian benih yang optima. Lebih banyak telur didapati hasilnya adalah lebih memuaskan. Jika lebih banyak telur dituai dan disenyawakan untuk menghasilkan lebih banyak embrio, embrio berlebihan boleh dibekukan dan ia boleh dipindahkan dan dimasukkan balik ke dalam rahim pada bulan akan datang. Dengan ini ia akan meningkatkan kejayaan dari segi kehamilan dan kelahiran.

Wanita-wanita yang mengalami masalah kegagalan penetasan atau ovulation boleh dirawat dengan bermacam-macam kaedah, syarat pertama ialah ia mesti mengurangkan berat badannya, di samping itu ubat-ubat subur sperti Clomiphene dalam dos yang amat tinggi iaitu 200 hingga 250mg (4 atau 5 biji sehari) perlu diberikan mulai hari kedua atau ketiga haid selama 5 hingga 10 hari. Sejurusnya pada hari ke 14 iaitu dikira pada hari pertama turun haid, kita boleh mengesan telur-telur tersebut melalui vaginal ultrasound.

Wanita-wanita yang mengalami masalah 'polycystic ovaries' kadang-kadang agak sukar untuk merangsang telur daripada kilang ovari. Kadangkala ia terlebih rangsang dan banyak telur akan tumbuh dan kadangkala ada kemungkinan berlakunya kembar dari 2 bayi hingga ke lapan bayi. Lain-lain kaedah untuk merangsang telur yang tidak berjaya menetas, ialah dengan cara suntikan hormon "gornadotrophine". Berbagai jenama ada di pasaran, tetap pada asasnya ubat suntikan hormon Gornadotrophine ini adalah sangat mahal harganya dan ini mungkin satu faktor penghalang bagi wanita-wanita yang tidak mampu walaupun mereka mempunyai masalah ketidaksuburan akibat daripada telur yang terperangkap.

Rawatan biasanya dimulakan pada hari kedua haid, ia juga dicampurkan dengan ubat subur Clomiphene tadi dan suntikan hormon sebagai panduan bagi menentukan waktu terbaik untuk menuai telur. Risiko bagi kaedah rawatan dengan menggunakan kaedah Gornadotrophine ialah kemungkinan besar berlakunya anak kembar, bukan sahaja kembar dua, mungkin tiga atau empat. Risiko kerana setengah daripada bayi-bayi kembar ini tidak sampai cukup bulan. Malah sebahagian besar daripada kandungan kembar yang banyak ini akan mengalami keguguran dan akhirnya menggagalkan kehamilan tersebut.

Feel free to share!



Apa Kata Anda